Monday, April 13, 2009

Kenal diri.....

Mengenal cela diri

Masakini, terdapat ramai manusia yang tahu keburukan yang ada tetapi berpura-pura seperti ia tidak mengetahuinya. Lebih buruk lagi apabila perangai manusia yang melihat keburukan dan cela orang lain tetapi tidak menyedari cela dirinya sendiri. Oleh sebab itu adalah penting setiap manusia itu menyedari cela sendiri. Dan bagi memudahkan kita menyedari cela yang ada pada diri ada beberapa cara yang boleh dilakukan:


Berdampingan dengan guru
Cara pertama adalah hendaklah seseorang itu duduk dan bergaul dengan seorang guru yang bijaksana dan mempunyai keistimewaan dan pandai tentang perihal penyakit jiwa. Orang tersebut hendaklah mengikut nasihat yang diberi dan kemudiannya melakukannya dengan sesungguh hati. Guru yang baik akan memberitahu perkara yang menjadi aib muridnya agar ia dapat membetulkannya dan memberitahu pula cara untuk menyembuhkannya.


Mencari sahabat sejati
Jalan yang kedua pula ialah hendaklah orang yang mahu mengetahui cela dirinya mencari seorang sahabat yang boleh dipercayai. Sahabat yang bercakap benar yang akan mengatakan apa kesalahan yang telah dilakukan. Selain itu seorang sahabat juga haruslah pandai memeriksa dan kuat agamanya. Ini adalah supaya sahabat itu sentiasa meneliti hal ehwal rakannya dan segala kelakuannya. Jikalau rakannya itu berbuat sesuatu yang tidak baik, hendaklah dia diingatkan dan dengan terang menjelaskan keburukan yang dilakukannya.


Ambil pengajaran kata-kata musuh
Hendaklah seseorang itu mengambil manfaat daripada kata-kata musuh tentang cela atau keburukan dirinya. Ini kerana kata orang yang membenci itu melihat banyak keburukan yang ada pada diri musuhnya. Kadang-kadang mengambil kata-kata musuh itu lebih banyak manfaatnya daripada mengambil kata-kata sahabat yang memuji-muji. Tapi jarang antara kita yang memberi perhatian daripada kata-kata musuh. Kebanyakan dari kita menganggap bahawa katakata musuh itu lebih bersifat kedengkian dan dusta semata-mata. Namun orang yang bijak dia tidak akan membuang terus kata-kata musuhnya. Dia akan mengambil iktibar memperbaiknya. Malahan orang yang menggunakan akal fikiran yang sihat pasti akan berterima kasih kepada musuh kerana menampakkan cela dan keburukan dirinya yang tidak pernah diucapkan oleh sahabat-sahabat yang lain.


Bergaul dengan masyarakat.
Hendaklah seseorang itu bergaul dengan masyarakat. Apa sahaja yang dilihat sebagai keburukan di kalangan masyarakat sekelilingnya hendaklah digunakan sebagai pengajaran. Ingatlah bahawa seorang mukmin itu adalah cermin bagi orang mukmin yang lain. Dia dapat melihat cela dirinya kerana melihat cela orang lain. Dia akan insaf dan berusaha membersihkan diri daripada cela keburukan yang dilihatnya. Cara ini sudah cukup sebagai pengajaran pada diri manusia. Andaikata seluruh manusia itu meninggalkan segala yang mereka benci daripada orang lain tentunya tidak perlu lagi ada pendidik dan pengasuh jiwa.

2 comments:

  1. betol la tuh,.
    pengajaran dpd kta2 msuh,,mmg blh pakai,.
    musoh2 akn kutok ape yg kurg pd dri kte.,.
    xkn jage ati,,ckp bnde btol

    ReplyDelete